Salina Ibrahim
ISBN: 9789831246290
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: 5 Jan 2011
Halaman: ~ 496
Harga: RM 19.90
~ Rasaku… ~
Kata orang kesilapan silam akan menghantui kita walau ke mana saja kita pergi. Walaupun sudah bertaubat dan insaf, kita sukar melenyapkan rasa bersalah itu. Terasa bebannya tak tertanggung walaupun kaki mahu melangkah ke hadapan. Benarkah?
Anis Hasanah [Hana]; gadis yang sudah memulakan hidupnya yang baru. Meninggalkan dunia jahilnya jauh dari kamus hidupnya. Namun, langkahnya bukan mudah. Sering saja hatinya merusuh. Apatah lagi apabila dia berhadapan dengan 'sejarah' lama itu hampir setiap hari. Amir Hakim dilayan dingin. Sabar, sabar dan sabar – itu yang diajar berulang kali dalam dirinya, namun si kecil itu sering saja menyebabkan Hana hilang sabar.
Bertemu dengan Hatim; rakan perniagaan keluarganya membawa Hana ke satu dimensi baru. Sudah berulang kali hatinya dikeraskan, tetapi hati kecilnya sering saja terusik dengan perilaku Hatim. Lelaki itu punya hati yang tulus. Hatinya ikhlas berkawan dengan Hana. Padanya, Hana bisa menggetarkan naluri lelakinya. Malah sikap Hana yang sering saja rendah diri itu membuatkannya makin terpaut.
Mereka berdua bukannya bercinta seperti orang lain. Tiada madah-madah cinta yang meloyakan. Tiada kata-kata puitis yang romantis. Tetapi aku harus akui lenggok bahasa yang digunakan sudah cukup menggambarkan perasaan Hana dan Hatim. Hubungan mereka berdua direstui oleh keluarga Hana, malah satu-satunya kakak Hatim juga amat menyenangi Hana.
Namun ada yang cemburu. Ada yang iri hati dengan hubungan Hana-Hatim. Pada Ehsan, hidup mesti ikut hatinya. Dia mahu mendapatkan semula cintanya yang pernah hilang dan cinta itu adalah Hana. Tidak dapat cara baik, dia gunakan 'sejarah' lama Hana. Watak Ehsan memang dipotret dengan baik. Rasa menyampah dengan Ehsan memang tidak dapat aku elakkan kih5 :P
Hatim yang memang tidak pernah mengetahui 'sejarah' lama Hana mula meragui keikhlasan Hana. Mujur juga Hana cepat sedar akan Hatim yang makin menjauh. Dengan bantuan abang keduanya; Hilman, 'sejarah' lama itu dibongkar. Hatim memang seorang lelaki yang berjiwa besar. Apa yang berlaku dulu biarlah berlalu. Dia kini cuba lebih realistik, menawarkan dirinya untuk saling berganding dengan Hana. Saling melangkah menuju masa depan.
Cerita ini memerlukan kesabaran. Kesabaran untuk mengetahui apa itu 'sejarah' hidup Hana. Namun aku rasa kesabaran itu memang berbaloi. Apatah lagi dengan kisah penamat yang cukup manis. Pengajaran yang paling berkesan pastinya tinta penulis yang begitu menekankan sikap berlapang dada, saling memaafkan dan tidak bermusuhan. Malah apa yang mengagumkan adalah hubungan kekeluargaan yang disulam baik dalam keluarga ini. Bagaimana ahli keluarga Hassan Indra dan Siti Rahmah saling menyokong antara satu sama lain. Seperti apa yang dituliskan, tiap watak mahu melangkah terus ke hadapan, memburu khatimah hidup yang tenang lagi diredhai. Dan inilah kisah mereka, maka kamu haruslah membacanya!
Novel Nur pertama keluaran Alaf 21 yang ada dalam gobokairina :D Terpikat dengan tajuknya di kala aku membaca sisipannya di sebuah akhbar awal pada tahun lepas. Cerita bersiri yang disiarkan sekali seminggu ni sering saja aku tertinggal. Maklumlah aku bukannya suka membaca cerita bersiri kih5 :P Ini juga novel pertama penulis yang begitu popular dengan Bukan Yang Pertama [BYP] aku baca. Ternyata novel ini juga berjaya menarik aku mencari novelnya yang lain. Mungkin aku patut mula dengan BYP :D
Lorong dan jalan yang panjang mungkin tidak akan lurus, mungkin tidak akan rata sepanjang masa. Barangkali dia akan terserempak simpang, mungkin akan ada lekuk kelok yang menuntut mata lebih berawas dan tentu akan ada lubang-lubang yang harus dielakkan supaya tidak terjerembap jatuh [page 27]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan