Aktviti Membaca!

Rabu, 22 Mei 2013

Bawah Pohon Sena

Bawah Pohon Sena
Nisyah

ISBN: 9789675118821
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Kedua April 2012
Halaman: 452
Harga: RM20

~ Rasaku… ~

Jujurnya aku hampir saja menutup novel ini kerana di awal ceritanya sudah menyentap kalbu. Hampir putus nyawa [amboi! ;P], bila mula baca dah dihidangkan kisah sedih; kisah penceraian si heroin. Ha... mana aku nak tahan.

Tapi...perasaan ingin tahu lebih ke depan. Buat aku terus gigih menyelak untuk mengetahui isinya. Dan atas kegigihan sendiri tu, akhirnya aku jatuh suka dengan karya ini. Sedih di awalnya tak menyebabkan penamatnya ikut suram. Macam hidup, susah-susah dulu senangnya kemudian, kan?

Lili Alias [Lili] dalam episod mengubat hati sendiri. Berpisah dengan Harith bukanlah kemahuannya. Namun apalah daya, Harith menolak menjadi suaminya. Tiga tahun yang disangka sudah mencukupi untuk meraih cinta Harith tidak berjaya. Harith makin jauh dan menyepi. Menyisihkan Lili yang dahulunya teman paling sejati. Mengapa Harith begitu? Salahkah Lili jatuh hati pada sahabat sendiri?

Dalam keterpaksaan, Lili akur. Hidup akan lebih menderita jika dia terus mengikat Harith di sisi. Sedangkan semenjak mula, dia sudah mengenali Suraya lewat daripada cerita-cerita Harith dulu. Melepaskan Harith kepada Suraya adalah yang terbaik. Walaupun hatinya berderai seribu, Lili percaya masa akan mengubat segalanya.

Lili ada cara tersendiri dalam mencari penawarnya. Menikmati alunan lagu-lagu pemuzik jalanan di lorong belakang Pasar Seni. Meredah lautan manusia yang ada pelbagai ragam dan gaya. Lantas mempotret semua itu dalam lensa kameranya. Dia hanyut lagi-lagi mendengarkan irama Ghazal Asmara alunan Gibran Ali [Gibran].

Bertemu Gibran bukan dalam rencananya. Bertemankan Gibran di warung menikmati teh tarik kaw juga tidak pernah difikirkannya. Tapi hatinya terisi dengan kehadiran Gibran. Lukanya bagai dijahit sendiri dengan cerita-cerita Gibran. Mereka berkongsi banyak perkara, bagai berdiri di ritma yang sama. Lantas ada bunga-bunga cinta yang mekar. Mengisi hati Lili tanpa disedari.

Namun saat Suraya menyatakan hasratnya, langkah Lili bagai terhenti. Atas rasa kasihan dan peri kemanusiaan dia turutkan. Bersetuju menjadi ibu angkat pada Puteri Diyana, lalu Gibran terbiar tanpa sebarang penjelasan. Dengan perginya Gibran, rasa hatinya kembali kosong.

Cubaan Harith untuk menarik kembali Lili ke pangkuannya hanya dipandang sepi. Mana tidaknya, hati sudah dibawa lari nun jauh ke Norway. Wah! Menjadi rupanya bumerang yang Gibran lemparkan, sampai terkenang-kenang.

Apa kesudahahnnya? Mampukah dinginnya Norway mencairkan hati Lili yang terluka? Atau apakah kasih Lili pada Harith bertaut kembali? Ha...sila-silakan baca novel ni. Anda akan mudah jatuh suka kerana gaya bahasanya yang terlukis indah. Ditambah pula dengan gaya Gibran yang cool. Tidak terlalu memaksa tetapi goyah juga bila tahu kewujudan pakcik Audi yang beli coklat Patchi...hikhikhik Manis sekali.

Happy reading (^-<)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

What say you?
Do comment... but please state your name :))