Aktviti Membaca!

Selasa, 12 Jun 2012

Kau Curi Hatiku

Kau Curi Hatiku
Iman Xara


ISBN: 9789675118524
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Kedua Mac 2011
Halaman: 518
Harga: RM20


~ Rasaku… ~

Agak sukar untuk aku menghabiskan naskhah ini hingga sanggup skip ke novel lain sebelum berjaya menutup novel berwarna biru gelap ini. Hampir sebulan rasanya 'memerap' buku ini *rolledeyes*

Ini sebuah kisah yang sedih. Kisah selepas perkahwinan yang membawa rentak cerita ke arah yang lebih beremosi dengan drama serta mampu memerah air mata pembaca. Tetapi sedihnya itu tak berjaya mengusik tangkai hatiku. Ya, aku rasa sedih tetapi belum mampu membuat aku bergenang air mata. Apa atau hati aku yang sebenarnya terlalu 'kering'? Atau mungkin kerana permulaan cerita yang banyak mengaitkan hubungan benci-menyampah dan adegan gaduh-gaduh antara dua watak utama membuatkan aku bosan sekaligus menurunkan mood membacaku. Mungkin.

Arissa dan Zamil, rakan sekerja yang seperti anjing dengan kucing tidak boleh berdekat. Seorang bermulut laser dan seorang lagi mulut tiada insurans. Sering juga teman-teman mengingatkan mereka kerana kata orang, jangan terlalu membenci bimbang nanti menjadi suka.

Tetapi mereka tak percaya kerana rasa tidak suka itu terlalu tebal. Namun siapalah mereka untuk menolak perasaan suka itu kalau perasaan itu mahu bertunas? Arissa kecewa kerana percintaannya dengan Firdaus terpaksa berakhir kerana keluarga; Zamil pula kecewa kerana hanya bertepuk sebelah tangan dengan Ain. Dan tanpa disangkan kekecewaan yang dialami membawa mereka semakin rapat.

Mungkin jodoh sudah ditentukan. Arissa dan Zamil disatukan. Hubungan mereka benar-benar bahagia hinggalah di saat Zamil mula membuat onar. Tegarnya hati Zamil menduakan Arissa walaupun ketika itu Arissa mengandungkan anak mereka yang kedua. Pelbagai usaha dilakukan oleh teman-teman untuk menyelamatkan rumahtangga mereka namun andai itu sudah ketentuan, jodoh mereka hanya bertahan sehingga lahirnya Safya Hani.

Ending memang agak sadis la. Tapi aku suka bila Arissa tak bersatu dengan Zamil kembali kerana sejak mula mengenali watak Firdaus, aku lebih terdorong kepada Firdaus *wink* Dan aku harus memuji penulis yang dapat melakar watak Ayie dengan hampir sempurna. Peranan yang dimainkan Ayie berjaya menambah rasa benci dan menyampah. Ternyata watak Ayie sebagai lelaki pengadu-domba memang akan sering diingati.

Sedikit yang membezakan, adalah penggunaan dialek Terengganu yang agak banyak. Sesuatu yang jarang ditemui dalam novel sebelum ini. Tiada masalah rasanya nak memahami maksudnya tetapi lebih baik sekiranya disediakan sedikit ruangan; glosari misalnya untuk maksud perkataan-perkataan tertentu.

Dan novel ini mengingatkan aku kepada konsep bersederhana. Bersederhana dalam apa saja yang kita lakukan. Jangan terlalu membenci seseorang dan jangan pula terlalu menyayangi seseorang. Berbicara tentang hati, entah bila ianya akan berubah. Dari benci menjadi cinta... aduh, hati! Bukankah mudah saja ia dibolak-balikkan?

Happy reading (^-<)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

What say you?
Do comment... but please state your name :))