Aktviti Membaca!

Isnin, 20 Februari 2012

Fiksyen 302

Fiksyen 302
Ramlee Awang Murshid

ISBN: 978837247464
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Disember 2011
Halaman: 512
Harga: RM21.00


~ Rasaku… ~

Kisah kali ini bermula dengan pembunuhan kejam oleh pembunuh yang mengalami masalah mental. Lan Lani, Jimmy Yeoh, Prakash Kumar dan yang Farid Ja’ah membunuh mangsa-mangsa mereka dengan kejam. Masing-masing melakukannya dengan cara yang hampir serupa. Angka 302 dilakar di dahi mangsa. Sejurus itu, mereka sendiri menghubungi polis. Ketika diberkas, mereka menyerah diri dalam keadaan bertelanjang bulat. Bagaimanapun, motif sebenar mereka amat kabur.

Kehadiran Noorhafiza Izura; peguambela yang dilantik untuk membela Lan Lani menimbulkan lebih banyak persoalan. Puas dia menjejaki siapa itu Zonan yang disebut-sebut oleh Lan Lani. Namun tiada langsung klu. Apakah Zonan itu hanyalah halusinasi Lan Lani? Tetapi mengapa kes pembunuhan lain turut mengaitkan Zonan? Siapa sebenarnya Zonan itu? Dia juga sering saja diingatkan yang jangan sesekali percaya. Sesiapa pun tidak terkecuali daripada pertuduhan, prasangka dan dijadikan suspek utama pembunuhan.

Kemudian melangkau ke tahun 2032 – di mana seorang peguam, Rita Yuzalina menyertai projek rahsia yang dikendalikan oleh dua orang pakar psikiatri [salah seorang pakar psikiatri adalah bekas doktor piskiatri keempat-empat pembunuh mangsa 302] bertujuan untuk merungkaikan misteri pembunuhan itu. Namun, ia disabotaj dan kisah lama bagaikan dihidupkan kembali. Mampukah Rita Yuzalina membongkar jenayah fiksyen 302?

Novel ini mengingatkan aku dengan kisah Rahsia Perindu di mana RAM membongkar masalah psikiatri. Dan rasanya aku lebih suka ‘masalah psikiatri’ Amylia-Leopard berbanding dengan yang ini kerana kisah Farid-Dina Din tidak begitu menjadi. Atau pun mungkin kerana sebelum ini masalah mental dan psikiatri telah dikupas dan di-twist dengan baik dalam novel sebelumnya, ia sudah tidak jadi umphh untuk kali keduanya? Mungkin...

Tetapi seperti biasa, RAM memang gemar bermain dengan banyak teka-teki terhadap watak-wataknya. Membuatkan kita jadi keliru, tak faham dan tak sabar nak tahu siapa, kenapa dan bagaimana semua itu terjadi. RAM memang tak akan membiarkan jantung kita berdenyut biasa. Dan seperti novel-novelnya terdahulu, penggunaan masa adalah senjata utama untuk menggerakkan ceritanya. Jadi bersiap siaga lah anda, jangan sampai ketinggalan.

Kadang-kadang terlintas di fikiran – tak mudah sebenarnya menjadi seorang RAM. Beliau perlu bekerja keras dalam menghasilkan setiap novelnya. Perlu bijak bermain dengan keadaan, konflik dan masa untuk membuai emosi setiap para pembacanya. Dan tak salah kalau aku katakan yang beliau perlu berfikir dua kali lebih ke hadapan berbanding orang lain untuk melestarikan sebuah manuskrip yang menarik. Ya, aku tabik dengan kegigihan RAM dan kebolehannya memanupulasi minda pembaca. Just awesome!

Happy reading (^-<)

Isnin, 13 Februari 2012

Jerat

Jerat
Dayang Noor

ISBN: 9789671038468
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama September 2011
Halaman: 303
Harga: RM20.00


~ Rasaku… ~

Jerat bermula dengan tragedi pembunuhan dua orang dan satu cubaan membunuh yang gagal. Agak mengujakan pada plot awal ini. Namun kemudiannya ia kembali perlahan. Agak lambat nak tunggu klimaks. Mungkin kerana ia bermain dengan dunia IT, dunia tanpa sempadan hingga aku hampir-hampir saja tenggelam dengan penggunaan istilah-istilah dunia pengkomputeran yang digunakan. Namun jalan ceritanya masih dapat diikuti dan difahami.

Mengisahkan Shereen yang terselamat daripada kemalangan yang sengaja dicipta. Namun apabila dia sedar, ternyata kemalangan itu turut meragut ingatannya. Dia tidak dapat mengingati apa-apa pun. Dan di saat ini dia perlu bangun semula dan membina kembali kehidupannya. Dalam mengharungi dunia yang nampak kelabu di matanya, dia berkenalan dengan Tash dan Melia. Bila kembali ke pejabatnya dia bertemu pula dengan Adele, Rizwan, Yazid dan teman-teman sepejabat yang memang sudah dilupakan.

Dalam mencari dirinya sendiri, dia juga perlu membongkar kegiatan penyeludupan kod-kod program ke luar negara yang didagangkan di pasaran gelap. Mampukah dia membongkar rahsia itu? Dan apakah kaitannya pembunuhan kejam dan kemalangannya dengan sebuah tender IT yang bernilai RM400 juta?

Penulis bijak bermain dengan watak-wataknya. Bagaimana membina watak Shereen setelah tersedar daripada koma, watak Tash yang muncul di saat Shereen di hospital, kehadiran Melia yang banyak menimbulkan tanda tanya mahupun Rizwan yang nampak seperti mangsa keadaan. Beliau menulis dengan mudah dan ringkas. Tidak terlalu kompleks, cuma ya tak salah kalau aku katakan jalan ceritanya agak predictable.

Bercuti dengan Jerat nampaknya tak begitu mengujakan. Tetapi ya, penamatnya masih mengekalkan ciri-ciri yang sesuai dengan objektif Fixi. Karya pulp fiksi moden dalam Bahasa Melayu. Ditambah dengan epilog yang agak surprising, tak cliché. Satu penyudahan yang terbaik.

Happy reading (^-<)