Aktviti Membaca!

Khamis, 5 Januari 2012

Bidadari-bidadari Syurga

Bidadari-bidadari SyurgaTere Liye

ISBN: 9789833892280
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Penerbit Asal: Penerbit Republika
Tarikh Terbit: Terbitan Pertama 2009
Halaman: 388
Harga: RM25.00


~ Rasaku… ~

Karya yang menyentuh hati sesiapa yang membacanya. Bukan sedikit 'isi'nya, maka perlulah kamu meneliti sedalam-dalamnya. Tere Liye sememang bukannya penulis calang-calang. Setiap patah disulam dengan penuh keikhlasan. Bikin hatiku sebak, bergenang air mata. Terima kasih pada Kak Ummu Auni yang sudi meminjamkan naskhah hebat ini padaku ;)

BBS merungkai kisah pengorbanan seorang kakak - Laisa terhadap adik-adiknya; Dalimunte, Ikanuri, Wibisana dan Yashinta. Walau mereka bukannya sedarah, seibu dan sebapa itu tidak menghalang Laisa menumpahkan kasih sayangnya yang bukannya sedikit. Laisa melakukan apa saja untuk membolehkan adik-adiknya dapat melanjutkan pendidikan mereka.

Bukan mudah menidakkan rasa hati, tetapi Laisa berjaya mengenepikan impiannya untuk keluar daripada Lembah Lahambay hanya kerana mahukan adik-adiknya berjaya. Laisa memang bukan gambaran heroin ideal stereotaip yang cantik, pandai, wangi atau kaya. Laisa gadis berkulit hitam, rambut kerinting, gempal dan pendek. Kekurangan itu tidak pernah membataskan kegigihannya, keteguhan hatinya, cinta dan keikhlasan. Dia gadis kental yang tak pernah kenal erti mengalah.

Mungkin kerana keikhlasannya dan kepercayaannya, kesemua adik-adiknya berjaya dalam hidup masing-masing. Baik Dalimunte, Ikanuri, Wibisana mahupun Yashinta tidak pernah melupakan kakak mereka. Setiap tindakan, kejayaan dan sesuatu keputusan mereka akan merujuk kepada kakaknya. Malah hal perkahwinan pun mereka berkeras, tak mahu melangkaui kakaknya. Sungguhlah rasa cinta dan kasih sayang yang dikongsi bersama amat meruntun hati.

Namun tiap yang bermula itu ada akhirnya. Sekuat mana Laisa akhirnya dia tumbang jua. Segigih mana pun Laisa kini mungkin sudah tiba di penghujungnya. Dan di saat ini, keempat-empat adiknya dipanggil pulang. Pesanan ringkas yang mendebarkan menyebabkan adik-adiknya bagaikan tak cukup tanah untuk berlari. Sempatkah melihat Kak Laisnya buat kali yang terakhir?

Aku petik potongan ayat di penghujung naskhah ini:-

Wahai, wanita-wanita yang hingga usia tiga puluh, empat puluh, atau lebih dari itu, tapi belum juga menikah (mungkin kerana kekurangan fizikal, tidak ada kesmpatan, atau tidak pernah 'terpilih' di dunia yang amat keterlaluan mencintai harta dan penampilan wajah.) Yakinlah, wanita-wanita solehah yang sendiri, namun tetap mengisi hidupnya dengan indah, bersedekah dan berkongsi, berbuat baik dan bersyukur. Kelak di hari akhir sungguh akan menjadi bidadari-bidadari syurga. Dan khabar baik itu pastilah benar, bidadari syurga parasnya cantik luar biasa.
Percaya. Tuhan itu Maha Mengasihi para hamba-Nya. Subhanallah.

Happy reading (^-<)

2 ulasan:

  1. tertariknya..mesti cite ni byk pengajaran kan..

    BalasPadam
  2. Eera Shera,
    Memang. Kasih sayang itu tak pernah ada batasan. Cuba baca ya! Menarik cerita ni.

    BalasPadam

What say you?
Do comment... but please state your name :))