Aktviti Membaca!

Selasa, 25 Mei 2010

Versus


JUDUL: VERSUS
PENULIS: HLOVATE
TERBITAN: JEMARI SENI PUBLISHING



~ Rasaku… ~

Kemunculan karya garapan Hlovate ini memang dinantikan. Apatah lagi sebelum ini Ked's Story tidak begitu melekat dalam hatiku. Jadi harapan pada novel ini memang terlalu besar. Aku ingin penulis ini mengembalikan 'rasa' itu padaku dan ya, aku sudah dapat rentaknya semula. Terima kasih.

Versus itu bermaksud bertentangan, berlawanan. Sejajar dengan maksudnya novel ini membawa kita merasai apa yang akan berlaku bila kita melawan kebiasaan kita. Apa yang akan anda lakukan apabila anda harus menentang diri anda sendiri? Susah sebenarnya untuk merentangi fitrah sedia ada tetapi itulah dugaannya apabila kita cuba berusaha ke arah yang lebih baik. Melalui watak-wataknya; Minn Edina [Minn] dan Ashraf Omar [AO], kita mengenali bagaimana mereka cuba berlawan dengan sisi baik dan buruk yang ada dalam diri.

Minn – gadis ini berusaha keras untuk mengubah hidupnya kerana wasiat yang ditinggalkan oleh datuknya. Dunianya yang berputar dengan skate itu dilupakan sedikit demi sedikit. Berhijrah untuk ke arah yang lebih baik seperti mana hasrat keluarganya. Kepayahannya mengharungi keluarbiasaannya itu ditelan dengan sendirinya.

Dalam pada itu dia berkenalan dengan AO. Membantu lelaki itu dalam menyediakan tugasan di universiti membuka satu sejarah baru. Kedegilan AO membuatkan Minn rasa sesak. Lelaki itu banyak helah dan tanpa disedari kisah yang dah lama Minn tinggalkan dibuka semula, langsung membuatkan hati Minn terluka.

AO tak pernah menyangka dia membawa Minn ke daerah lama yang ingin dilupakannya. Sebenarnya dia cuma mahu mendampingi gadis Ed’Sassin of Wrath yang dipujanya dulu. Hingga dia terlupa gadis itu sudah pun berubah meninggalkan dunianya itu. Dan dalam diam AO ingin juga merasakannya. Bagaimana dunia Minn yang berubah arah 180 darjah, dia juga ingin melaluinya. Dunia skateboard perlu ditinggalkan. Alam street harus dilupakan.

Pertemuan mereka selepas itu membuatkan hati Minn terkesan. Inikah AO yang dikenalinya dulu? Benarkah ini AO yang buat tak peduli tentang hal-hal wajib tetapi kini begitu menjaganya? Dan bagi Minn sediri, adakah benar dia sudah pun berubah menjadi yang terbaik? Kalau ya, mengapa hatinya merasakan AO sejuta kali lebih baik daripadanya?

Sememangnya terlalu sukar untuk berubah tetapi Allah selalu membantu hambanya. Baik Minn atau pun AO, mereka sudah berada di landasan yang benar. Dilorongkan kepada insan yang sudi membantu mereka. Mereka memang baik tetapi benarkah 'baik' itu sudah dicapai? Tulisan penulis ini menyedarkan, benarkah kita juga sudah pun cukup 'baik'? Apa bezanya baik dengan menjadi lebih baik? Tepuk dada, tanyalah diri anda sendiri.

Secara jujurnya ini adalah karya terbaik garapan penulis yang aku gelar indie ini. Mendidik para pembacanya dalam cara yang halus sekali. Mengikat para peminatnya dengan caranya tersendiri. Seperti sebelumnya cinta hasil sentuhannya masih lagi memikat biarpun tanpa ayat yang berbunga-bunga. Kita masih dapat merasakan kehadiran cinta itu. Cinta itu fitrah, ia satu anugerah. Tak salah untuk setiap insan melaluinya tetapi perlu tahu di mana batasannya. Dan itu diungkapkan dalam karyanya ini.

Berusahalah untuk ke jalan yang baik kerana dalam diri setiap insan itu ada sisi baiknya tersendiri.

“…bukan mudah untuk berubah
dari tanpa arah ke sejadah,
dari tepi jalanan ke sujud menghadap Tuhan…”

Ps: Aku fikirkan AO je boleh jadi kamikaze tetapi Ked lebih-lebih lagi! Kasihan Nawal hik3 lalala5 :P

Happy reading (^-<)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

What say you?
Do comment... but please state your name :))