Aktviti Membaca!

Isnin, 10 Mei 2010

Seindah Derita


JUDUL: SEINDAH DERITA
PENULIS: NORHAYATI BERAHIM
TERBITAN: CREATIVE ENTERPRISE SDN BHD


~ Rasaku… ~

Aku pernah kehilangan novel ini dan waktu tu aku sangat sedih hinggakan pernah berkata yang aku tak akan bagi sesiapa pinjam lagi novel-novelku hahaha Sungguh, kerana masa itu aku masih bergelar pelajar dan untuk mendapatkan sesebuah novel aku kena ikat perut. Malah novel ini aku beli di Pasar Seni dan kedai itu pun sudah tiada di sana. Jadi ia punya nilai sentimen yang amat tinggi. Namun siapa sangka jodohku bertemu lagi dengan SI dan kali ini aku tekad untuk menjaganya sebaik mungkin ;D

Cerita ini mendidik aku tentang nilai persahabatan. Benar, rakan menangis itu payah benar dicari. Dan andainya kita berjumpa pastikan kita jaga hubungan itu sebaiknya. Hardina Khamis [Hardina] adalah contoh sahabat yang sejati. Kesabaran, kesetiaan, keikhlasan dan kejujurannya merupakan tunjang cerita ini. Sanggup berkorban untuk sahabatnya tak perlu lagi diragui.

Kebaikan Hardina memang amat disenangi ramai. Malah Johan sendiri terlalu menyanjungi gadis ini. Namun dek kerana desakan teman-teman Johan, hubungan mereka putus begitu saja. Pertemuan kali kedua di alam dewasa membuka semula sejarah lama. Johan yang dah lama menyimpan rasa pada Hardina tidak ingin melepaskannya lagi. Dia tekad untuk mengambil hati Hardina semula. Kesalahan lampau ingin ditebus.

Namun pada Hardina itu semua cerita lama. Cerita anak sekolah yang baru belajar bercinta. Rasa suka dan benci itu tidak perlu diungkit lagi. Tetapi bila kedua-dua belah keluarga masuk campur, Hardina tersepit. Cadangan ibu dan ayahnya yang ingin menjodohkan Hardina dengan Johan buat dia keliru. Johan pula rasa amat berbesar hati. Peluang itu pastinya tidak akan dilepaskan. Cuma aku tak berapa berkenan la dengan sikap Johan yang selalu sangat jadi ulat bulu bila duduk berdua dengan Hardina.

Sebalik kisah Hardina-Johan, kita dihidangkan dengan kisah si isteri yang menderita kerana penyakit kanser. Azimah ditinggalkan suaminya kerana doktor mengesahkan yang penyakit Azmiah itu terlalu tipis untuk sembuh. Kejamnya Imran yang sanggup berkahwin lain ketika Azimah terlantar di hospital. Hardina kecewa kerana mengingatkan Imran yang selama ini amat memahami rupanya tidak sanggup susah bersama Azimah. Melihatkan Azimah, Hardina berazam untuk cuba mencari penawarnya. Dengan bantuan Johan yang bertugas sebagai doktor dan juga Dahlia; teman baiknya mereka bersama-sama memberi keyakinan pada Azimah. Setiap penyakit itu pastinya ada ubatnya kecuali mati.

Seperti karya-karyanya terdahulu, NB mengangkat martabat wanita di satu tempat yang tinggi. Ketabahan hati seorang wanita itu tak bisa digoyahkan. Tak kisahlah seberapa banyak kali kita terjatuh, pastinya kita perlu terus bangkit. Biar apa pun halangan kita perlu terus meredahnya. Hidup ini terlalu singkat untuk duduk menangis dan menderita. Hakikatnya kita harus percaya pelangi itu akan muncul apabila hujan berlalu pergi.

Happy reading (^-<)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

What say you?
Do comment... but please state your name :))