Aktviti Membaca!

Selasa, 21 September 2010

Datang Dengan Indah


JUDUL: DATANG DENGAN INDAH
PENULIS: SARNIA YAHYA
TERBITAN: FAJAR PAKEER SDN BHD



~ Rasaku… ~

DDI ni macam kisah kahwin paksa juga. Mana taknya si adik kena menggantikan tempat sang kakak yang lari daripada majlis kahwinnya sendiri. Yang pelik tu kakak tu nak kahwin dengan pilihan hati sendiri bukan kerana kahwin aturan keluarga. Sebagai anak yang baik; Ardini rela berkorban demi menyelamatkan maruah keluarganya. Majlis perkahwinan antara Ruzana dan Izzuddin masih diteruskan cuma pengantin perempuannya saja yang sudah bertukar. Rela dalam paksa Izzuddin menerima Ardini sebagai isterinya.

Perkahwinan tanpa cinta memang menyukarkan. Apatah lagi sikap Izzuddin yang acuh tak acuh dengan kehadiran Ardini sebagai isteri. Dia menyimpan dendam. Kakak dan adik sama sahaja. Suka menyakitkan hati dan menyusahkan. Namun tidak pula pada Ardini. Hatinya dibuka sedikit demi sedikit. Pasrah dengan ketentuan, dia mula belajar menerima hakikat. Belajar untuk menyayangi dan menyintai suami sendiri.

Mujur saja pasangan ini duduk bersama keluarga Izzuddin, makanya ada juga tempat Ardini berkongsi rasa. Ibu mentuanya memang menyenangi kehadiran Ardini. Seboleh mungkin dia menjaga Ardini. Cuma dia terkilan kerana Izzuddin tak pernah cuba membuka hatinya untuk mengenali Ardini. Dan permintaan Ardini yang inginkan dirinya dilepaskan memang amat mengejutkan. Tak disangka ada perjanjian itu antara Izzuddin dan menantunya. Izzuddin berjanji akan menceraikan Ardini selepas sahaja Ardini tamat belajar.

Izzuddin mula menyedari sesuatu. Usia perkahwinan dengan Ardini sudah menginjak lima tahun. Sedar yang janjinya dulu pada Ardini harus diselesaikan. Namun jauh di sudut hati ada rasa yang tak enak. Dia tak dapat menipu diri yang dia tak mampu melafazkan talak pada Ardini. Apatah lagi keprihatinan Ardini yang menjaganya ketika dia sakit membuka matanya. Hatinya cair dengan kebaikan dan ketulusan Ardini. Dia tahu Ardini tak salah. Dia saja yang buta dalam menilai permata di depan mata.

Kebencian yang ditanam selama ini bertukar menjadi cinta. Namun macam-macam cara yang harus Izzuddin lakukan untuk menambat kembali hati seorang isteri. Payah sebenarnya nak mencapai kembali cinta Ardini apabila si isteri pula yang membenci. Tetapi hati perempuan Ardini mula terusik. Cinta yang disangkanya sudah pergi mula bertamu kembali di hati. Akhirnya dia mengalah. Akur kerana sesungguhnya dalam hati Ardini, sudah terpahat nama Izzuddin.

Kemunculan Ruzana ketika pasangan ini sedang berbahagia mengusik rasa. Ruzana iri hati dengan kemesraan Ardini dan Izzuddin. Ruzana bertekad untuk mengambil haknya kembali. Dah tak betul agaknya si Ruzana ni! Dia yang tinggalkan Izzuddin ada hati pula nak kata yang Ardini merampas haknya? Aduhai… kasihan Ardini! Izzuddin pun satu tak reti-reti nak jaga hati isteri sendiri. Makanya bagaimana kisah cinta Ardini dan Izzuddin? Terus mekar mewangi atau kecundang dengan kehadiran bekas kekasih?

Happy reading (^-<)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

What say you?
Do comment... but please state your name :))