Aktviti Membaca!

Jumaat, 3 September 2010

Candal


JUDUL: CANDAL
PENULIS: SITI JASMINA IBRAHIM
TERBITAN: PTS FORTUNA SDN BHD



~ Rasaku… ~

Membaca novel pendek ini sedikit mencabar. Laras bahasa yang digunakan mungkin agak sukar untuk aku hadamkan. Memerlukan ketelitian namun tidak pun mematahkan semangat aku untuk meneruskan pembacaannya.

Sebuah cerita thriller yang begitu mengesankan. Plot-plotnya kemas dan isinya padat. Membuatkan aku terus terpaku dan tak mahu berpaling daripadanya. Membawa kita mengintai kehidupan Kampung Pualam yang dihantui dengan sumpahan si Candal. Penduduk mengatakan tempat itu disumpah semenjak berlakunya pembunuhan seorang pelajar perempuan dua tahun sebelumnya. Kematian demi kematian. Pembunuhan demi pembunuhan yang serupa berulang.

Daeng dan Emilia pernah merasakan 'sesuatu'. Dilanda permainan emosi yang maha hebat di awal-awal sesi pendaftaran mereka di institusi tidak jauh daripada kampung tersebut. Namun akal menyangkal. Mungkin itu semua adalah ilusi semata-mata. Baik Daeng mahupun Emilia menyepikan diri. Endah tak endah dengan kejadian itu.

Abang Daeng, Dahri, pelajar tahun akhir berhasrat menjadikan sumpahan itu sebagai projek tahun akhirnya. Niatnya ingin membongkar rahsia di sebalik pembunuhan kejam Julia, mangsa yang dibunuh secara kejam oleh Candal. Dahri dan kekasihnya; Sara mengajak Daeng membantu mereka.

Pada mulanya Daeng enggan. Namun desakan abangnya itu tidak mampu dielak. Daeng meminta bantuan teman sekuliahnya. Emilia, Zaria, Fatin, Dayang dan Rabihah teman sekelas dalam bidang ekologi dipelawa. Dahri yang bertindak sebagai ketua kumpulan begitu bersemangat. Dia memang mahu menyelesaikan kes yang tergantung sejak dua tahun yang lalu.

Namun kematian Fatin ketika sesi itu menggemparkan semua. Cara pembunuhan Fatin memang saling tak tumpah dengan Julia. Insiden itu membuatkan ahli-ahli kumpulan mula merasa bimbang. Ada sejarah lama yang disembunyikan oleh orang kampung tersebut. Rabihah meminta projek itu dihentikan. Amaran daripada pakciknya masih kuat di ingatan. Dahri menolak. Semangatnya begitu berkobar-kobar untuk mencari petunjuknya.

Umpama sumpahan yang mengekori mereka semua, Dayang pula yang ditemui mati. Diikuti dengan pembunuhan Sara di depan mata Dahri. Kini nyawa masing-masing terasa di hujung tanduk. Siapa sebenarnya pembunuh bersiri itu? Dan siapa pula Candal? Mari susuri sumpahan Kampung Pualam yang penuh dengan tanda tanya. Mungkin saja anda dapat menyelami permainan misteri yang dititip oleh si Candal.

Happy reading (^-<)

2 ulasan:

  1. Saya suka karya Siti Jasmina. Kena cari novel ini =).

    BalasPadam
  2. Pei Pan,
    Iya? Ini karya pertamanya yang saya baca.
    Nanti google caru karya-karyanya yang lain.

    Selamat mencari novel :)
    Eh, boleh beli online di PTS.

    BalasPadam

What say you?
Do comment... but please state your name :))